Warna Teks  default purple blue contrast
Saiz Teks A- A A+

Pilihan bahasa

JABATAN GINE-ONKOLOGI

Pengenalan

Jabatan Gine-Onkologi memberi perkhidmatan rawatan kanser alat kelamin wanita (female genital-tract cancer) dan kanser berkaitan peritoneum (peritoneal related cancer). Ia merupakan satu perkhidmatan sub-kepakaran di bawah Program Obstetrik & Ginekologi.

Unit ini menyediakan perkhidmatan rawatan menyeluruh, pusat sehenti (one stop centre) bagi wanita yang mempunyai masalah berkaitan kanser dan pra-kanser.

Perkhidmatan

Perkhidmatan Pesakit Luar

  • Klinik Pakar Ginekologi Onkologi

    Klinik Pakar Ginekologi Onkologi terletak di Klinik Multidisiplin (MDC) di aras tiga bangunan IKN. Perkhidmatan klinik pakar ini beroperasi pada setiap hari Selasa dan Khamis pada waktu pejabat. Pakar-pakar dan pegawai perubatan akan menilai kes rujukan dari hospital berdekatan bagi menentukan rawatan lanjut bagi pesakit yang dirujuk. Pesakit yang stabil akan diberi tarikh untuk pembedahan, manakala pesakit yang mempunyai kanser yang sudah merebak akan di beri rujukan untuk rawatan kemoterapi sebelum pembedahan dijalankan.

    Kes-kes yang sudah dibedah juga dinilai semula di klinik pakar ini. Pesakit akan diberi penerangan tentang jenis kanser yang dihidapi, tahap kanser tersebut (stage) serta rujukan ke Klinik Onkologi akan dibuat sekiranya memerlukan rawatan lanjut, sama ada rawatan kemoterapi atau radioterapi.   

  • Klinik Kolposkopi

    Klinik Kolposkopi beroperasi pada setiap hari Khamis di tempat yang sama bermula jam 12 tengahari. Prosedur kolposkopi dilakukan bagi kes-kes berkaitan jangkitan Human Papilloma Virus  berisiko tinggi (hrHPV) serta pap smear yang tidak normal. Ini merupakan rawatan pra-kanser bagi mencegah kanser servik.

    Perkhidmatan Pesakit Dalam

    Perkhidmatan pesakit dalam merupakan perkhidmatan yang menjaga kes kanser wanita yang memerlukan kemasukan ke wad bagi tujuan pembedahan, serta penjagaan selepas pembedahan. Ada juga pesakit yang dimasukkan ke wad untuk transfusi darah serta rawatan antibiotik atau untuk  kawalan kesakitan disebabkan kanser.

  • Perkhidmatan Pembedahan Elektif

    Pembedahan elektif dilakukan pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Ia merupakan pembedahan yang terancang dan sudah lulus penilaian oleh pakar bedah gine-onkologi dan juga pakar anaesthesia. Pesakit akan dimasukkan dua hari lebih awal bagi pemantauan tekanan darah dan tahap gula serta diambil kebenaran bertulis (consent) untuk pembedahan. Pesakit juga akan diberi rundingan semula tentang risiko-risiko berkaitan pembedahan.

  • Perkhidmatan Rawatan Kemoterapi

    Perkhidmatan rawatan kemoterapi dijalankan di Wad 6A. Rawatan ini hanya melibatkan kes-kes berkaitan “Gestational Trophoblastic disease”. Ini secara umumnya melibatkan kes kandungan anggur (molar pregnancy), invasive mole dan juga choriocarcinoma.