Warna Teks  default purple blue contrast
Saiz Teks A- A A+

Pilihan bahasa

UNIT PSIKOLOGI KAUNSELING

Pengenalan

Unit Psikologi Kaunseling merupakan satu unit di bawah Jabatan Pengurusan, Institut Kanser Negara. Unit ini diterajui oleh Pegawai Psikologi dan memberikan perkhidmatan psikologi dan kaunseling kepada pesakit, ahli keluarga pesakit dan juga warga kerja Institut Kanser Negara. Perkhidmatan psikologi dan kaunseling yang disediakan adalah berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dijalankan oleh Pegawai Psikologi bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh berlandaskan etika kaunseling.

Misi

Unit Psikologi Kaunseling menyediakan perkhidmatan psikologi dan kaunseling ke arah:

  • Responsif dan prihatin kepada klien;
  • Dilaksanakan oleh Pegawai Psikologi yang terlatih dan professional;
  • Dilaksanakan melalui intervensi terkini berdasarkan pendekatan kemanusiaan dan
  • Memfokuskan kepada penyelidikan dan latihan yang berterusan terutamanya yang berkaitan dengan intervensi psikologi dan kaunseling pesakit kanser. 
Visi

Mewujudkan perkhidmatan psikologi dan kaunseling yang profesional, efektif, berkualiti dan client focused dalam intervensi klien melalui penyelidikan dan latihan yang berterusan.

Objektif
  • Membimbing klien serta keluarga/penjaga meningkatkan pemahaman kendiri dan persekitaran, menerima keadaan mereka seadanya serta mendapat celik akal;
  • Membantu klien serta keluarga/penjaga membina strategi daya tindak mengikut kemampuan masing-masing dan
  • Menjadi sumber rujukan bagi pelaksanaan penyelidikan dan latihan yang berkaitan intervensi psikologi dan kaunseling bagi pesakit kanser.
Piagam Pelanggan
  • Memberikan perkhidmatan kaunseling berdasarkan ilmu-ilmu psikologi kaunseling dengan mesra, segera dan prihatin.
  • Kes rujukan yang diterima akan diberikan maklum balas dalam tempoh tiga (3) hari bekerja.
  • Memastikan kerahsiaan klien adalah menjadi keutamaan dan terjamin.
Perkhidmatan
  1. APLIKASI PSIKOLOGI DALAM INTERVENSI

Bertujuan untuk membimbing dan memudahkan klien dalam menguruskan isu/masalah yang dihadapi dengan lebih berkesan melalui:

  • Kaunseling Individu

Melibatkan interaksi bersemuka di antara dua individu (pegawai psikologi dan klien) di mana pegawai psikologi memudahkan penerokaan dan penyelesaian isu yang dialami oleh klien.

  • Kaunseling Kelompok

Melibatkan lima hingga sepuluh individu dalam setiap sesi kelompok. Pegawai Psikologi akan menggunakan kemahiran kaunseling terapeutik untuk memudahkan pemahaman tentang diri dan menggalakkan perubahan dalam tingkah laku individu.

  • Kaunseling keluarga

Melibatkan pegawai psikologi untuk memberi maklumat, sokongan emosi dan bimbingan praktikal tentang masalah yang dihadapi dalam konteks keluarga serta memperbaiki hubungan antara ahli keluarga.

  • Kaunseling Kerjaya

Melibatkan perundingan, nasihat atau bimbingan yang tertumpu secara khusus pada peluang kerjaya seseorang dan membolehkan seseorang mengubah hala tuju kerjayanya. Kaunseling akan mengambil kira keutamaan, kecerdasan,  kemahiran, nilai kerja dan pengalaman seseorang individu

  • Intervensi Krisis

Merujuk kepada kaedah yang digunakan untuk menawarkan bantuan segera dan jangka pendek kepada individu yang mengalami peristiwa yang menyebabkan tekanan atau masalah emosi, mental, fizikal dan tingkah laku terutamanya ketika kecemasan, bencana dan krisis peribadi.

 

  1. APLIKASI PSIKOLOHI DALAM PEMBANGUNAN PERSONEL

Bertujuan untuk meningkatkan nilai kerja, budaya kerja serta etika kerja yang scemerlang dan menerapkan sikap positif kepada kakitangan Institut Kanser Negara melalui kursus, latihan dan program-program yang dijalankan.

 

  1. APLIKASI PSIKOLOGI DALAM PENILAIAN PERSONEL

Bertujuan untuk membantu klien memahami personaliti, emosi, sikap, minat dan potensi diri mereka melalui pelaksanaan dan pentaksiran pelbagai jenis ujian psikologi.