Pengenalan
Menyediakan sistem kerja yang lengkap dan selamat di IKN adalah keutamaan dan perkara asas yang penting untuk memastikan keselamatan pesakit, kakitangan hospital, pelawat dan kawalan trafik, juga untuk mengawal aset kerajaan dan orang awam. Dalam usaha Jabatan pengurusan IKN untuk memberikan layanan perkhidmatan perubatan yang lancar dan terurus, elemen keselamatan selalu diabaikan. Kes seperti kehilangan aset kerajaan, dan awam di kawasan IKN, pesakit hilang dari IKN dan sebagainya boleh meningkatkan ketidakpercayaan orang awam terhadap IKN dan kepada kakitangan IKN yang diberi kepercayaan. Disebabkan itu, Unit Keselamatan IKN mestilah memberikan perhatian yang serius dan memastikan sistem keselamatan di IKN dilaksanakan dengan betul. Garis panduan ini disediakan sebagai panduan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Garis panduan ini termasuk juga mengenai keselamatan semasa seperti kes-kes perlanggaran keselamatan, ancaman keselamatan, kecurian, pencerobohan dan sebagainya.
Misi
Memberikan khidmat nasihat keselamatan perlindungan dan memastikan tugasan operasi yang ditetapkan oleh Pengarah IKN berjalan lancar dan sempurna sepanjang masa.
Visi
Memastikan keselamatan perlindungan terjamin sepanjang masa bagi mengelakkan pelanggaran keselamatan dengan memberi khidmat nasihat berkaitan. sistem Kawalan Keselamatan Perlindungan dan Pengurusan Rahsia Rasmi Kerajaan berpandukan kepada peruntukan- peruntukan dalam Akta-akta berkaitan, Arahan Keselamatan, Arahan Tetap Sasaran Penting dan Surat-surat Pekeliling yang berkuatkuasa bagi dipatuhi, diambil tindakan pencegahan, pembetulan dan penambahbaikan secara berterusan.
Objektif
Objektif dan peranan utama Unit Keselamatan adalah untuk memastikan keselamatan perlindungan dipraktikkan oleh warga IKN serta memberikan khidmat nasihat dari segi keselamatan fizikal, kawalan aset kerajaan berpandukan kepada Arahan Keselamatan.
Piagam Pelanggan
- Membantu dalam menguruskan prosedur dan pelaksanaan aspek-aspek keselamatan fizikal, dokumen dan peribadi serta memastikan ia dalam keadaan terurus, betul, teratur dan dilaksanakan dalam tempoh dua (2) kali setahun.
- Membantu memastikan Syaikat Kawalan Keselamatan Swasta melaksanakan tugas-tugas berpandukan prosedur yang telah dipersetujui, memantau pematuhan kepada kontrak, memperuntukkan anggota keselamatan yang mencukupi dan menentukan lokasi keselamatan yang perlu diawasi dilaksanakan dalam tempoh satu (1) minggu sekali.
- Menyelia dan menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas premis Jabatan, membuat laporan, mencadangkan syor-syor dan input-input berkaitan penambahbaikan, keselamatan dan membantu memastikan peraturan keselamatan fizikal, dokumen serta peribadi dipatuhi dan dilaksanakan dalam tempoh satu (1) bulan sekali.
- Membantu mengkaji keperluan peralatan dan kelengkapan keselamatan dalam meningkatkan tahap keselamatan dalam tempoh satu(1) bulan sekali.
- Membantu mengkaji peraturan-peraturan keselamatan yang sedia ada, mengemaskini dan mengatur peraturan-peraturan baru (jika ada) serta melaksanakan dengan persetujuan pihak Pengurusan IKN dalam tempoh satu (1) bulan sekali.
- Membantu menjalankan pemeriksaan mengejut dan siasatan bagi menentukan bahawa langkah-langkah keselamatan dipatuhi dan dilaksanakan dalam tempoh satu (1) minggu sekali.
- Membantu mengesyorkan tindakan yang sepatutnya bagi perbuatan-perbuatan pelanggaran keselamatan dan melaporkan kepada pihak Pengurusan IKN dan pihak-pihak lain yang berkenaan dalam tempoh tiga (3) hari bekerja.
- Memproses permohonan Kad Akses dan Pelekat Kenderaan oleh staf IKN dalam tempoh tiga (3) hari bekerja.
- Memproses permohonan Kad Pengenalan Jabatan oleh staf IKN dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja.
- Membantu menguruskan hal-hal berkaitan personel keselamatan (jika ada) dan menjalankan tugas-tugas lain sebagaimana yang diarahkan oleh pegawai atasan dalam tempoh tiga (3) hari bekerja.
Perkhidmatan
Unit Keselamatan merupakan satu unit dibawah Jabatan Pengurusan, yang menguruskan segala hal ehwal Keselamatan Perlindungan di IKN. Keselamatan perlindungan adalah meliputi keselamatan fizikal, keselamatan rahsia rasmi dan juga keselamatan peribadi. Unit ini diketuai oleh seorang Penolong Pegawai Keselamatan KP29 dan dibantu oleh lima orang Pembantu Keselamatan KP19 beserta kawalan keselamatan bangunan seramai 16 orang bagi shif pagi termasuk 2 pengawal keselamatan bersenjata dan 14 orang shif malam dari syarikat Kawalan Keselamatan Dynamic GuardForce Sdn. Bhd.