Pengenalan
Bidang kerja sosial perubatan wujud sebagai satu perkhidmatan yang menguruskan fungsi psikososial individu, keluarga dan komuniti bagi membantu pesakit mencapai tahap kesihatan yang lebih baik. Praktis kerja sosial perubatan berasaskan kepada pengetahuan dalam bidang kerja sosial yang merangkumi aspek psikologi, antropologi dan sosiologi, perundangan sosial dan aspek kesihatan. Praktis kerja sosial perubatan merupakan aplikasi kerja sosial untuk menangani ketidakfungsian fizikal, sosial dan psikologi melalui kaedah kerja kes, kerja kumpulan dan kerja komuniti. Perkhidmatan diberikan dalam bentuk bantuan praktik dan terapi sokongan.
Perkhidmatan ja Sosial Perubatan di IKN telah beroperasi bermula pada 23.01.2014 dengan nama Unit Kerja Sosial Perubatan yang telah merupakan salah satu unit yang memberi perkhidmatan sokongan di IKN. Perkhidmatan telah dimulakan dengan seorang Pegawai Kerja Sosial Perubatan bersama seorang Pembantu Tadbir Sambilan. Kes pertama yang dirujuk adalah pada 10.02.2014 di UKSP dan terus meningkat seiring dengan keperluan dan permasalahan pesakit kanser di IKN. Kehadiran Pembantu Tadbir (Tetap) pada 17.09.2014 dan seorang PKSP pada 01.10.2014 meningkatkan lagi tahap kecekapan perkhidmatan di UKSP dalam membantu pesakit kanser, ahli keluarga dan penjaga.
Secara amnya, Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan menangani pelbagai isu biopsikososial yang melibatkan pendekatan multi-disiplin dalam mencapai objektif total patient care. Perkhidmatan yang disediakan adalah untuk memberi bantuan psikososial kepada pesakit semasa proses rawatan, pemulihan kefungsian sosial agar pesakit menjadi lebih produktif, berdikari dan kembali kepada komuniti selaras dengan batas keupayaan mereka.
Misi
Memberi khidmat psikososial yang cemerlang dengan penyampaian bantuan praktik dan terapi sokongan melalui pendidikan dan penyelidikan.
Visi
Memastikan keperluan psikososial pesakit, keluarga dan komuniti dipenuhi bagi mencapai kesihatan yang lebih baik melalui pendidikan dan penyelidikan.
Objektif
- Memberi perkhidmatan psikososial kepada pesakit semasa proses pencegahan, rawatan dan pemulihan.
- Membantu memulihkan kefungsian sosial agar pesakit menjadi produktif, berdikari dan dapat kembali kepada komuniti selaras dengan batas keupayaan mereka.
- Meningkatkan keyakinan diri ke arah memperkasakan pesakit melalui khidmat terapi sokongan.
Piagam PelanggaN
- Setiap pelanggan akan mendapat perkhidmatan tanpa mengira kaum, agama, umur, jantina dan taraf sosioekonomi.
- Penilaian sosioekonomi pesakit hanya akan dilakukan setelah menerima rujukan daripada Pegawai Perubatan melalui sistem Fisicien untuk permohonan bantuan praktik atau terapi sokongan.
- Segala maklumat pelanggan yang diperolehi akan dirahsiakan dan hanya boleh diberitahu kepada pihak tertentu mengikut keperluan.
- Segala pengurusan permohonan bantuan praktik dan terapi sokongan adalah tertakluk kepada syarat dan peraturan agensi yang berkaitan, sumber sedia ada dan kelayakan pemohon.
- Sekiranya maklumat yang diberikan didapati adalah palsu, permohonan pelanggan dengan sendirinya terbatal.
PERKHIDMATAN
Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan disediakan untuk pesakit dalam dan pesakit luar di IKN merangkumi bantuan praktik dan terapi sokongan.
- Bantuan Praktik
Bantuan psikososial ini melibatkan penilaian biopsikososial yang perlu dijalankan ke atas pesakit dan/ atau waris oleh PKSP sebelum intervensi bantuan praktik diberikan.
Intervensi bantuan praktik melibatkan aspek bantuan kewangan (pembelian peralatan perubatan, pembelian ubat-ubatan, membiayai kos rawatan atau bantuan am), penempatan institusi dan mengesan waris. Bantuan praktik ini diberikan kepada pesakit akut dan kronik.
Pengurusan kes bantuan praktik ini memerlukan jaringan kerjasama dengan pelbagai disiplin profesion perubatan, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta sumber komuniti setempat.
- Terapi Sokongan
Bantuan psikososial ini melibatkan penilaian biopsikososial yang perlu dijalankan ke atas pesakit dan/ atau waris oleh PKSP sebelum intervensi terapi sokongan diberikan.
Intervensi bantuan terapi sokongan melibatkan khidmat perundingan, sokongan emosi dan intervensi krisis meliputi kes keganasan rumahtangga, ibu tanpa nikah, penderaan dan pengabaian kanak-kanak, jenayah seksual dan kes-kes lain yang berkaitan termasuk pesakit akut dan kronik.
Pengurusan kes terapi sokongan ini memerlukan jaringan kerjasama dengan pelbagai disiplin profesion perubatan, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta sumber komuniti setempat.