Warna Teks  default purple blue contrast
Saiz Teks A- A A+

Pilihan bahasa

Ucapan Sambutan Hari Ulang Tahun ke-5 Institut Kanser Negara

YBrs. Dr./ Tuan/Puan,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita diberi kesempatan untuk meraikan Hari Ulangtahun Institut Kanser Negara.

Masa berlalu dengan begitu pantas. Hari ini (2 September 2018), genaplah sudah 5 tahun penubuhan IKN. Saya percaya dalam tempoh 5 tahun ini banyak yang telah dilalui dan dihadapi oleh warga IKN dalam usaha mengangkat IKN sebagai sebuah pusat rujukan kanser kebangsaan yang disegani.

Saya sedar ia bukanlah suatu kerja mudah untuk mengekalkan kecemerlangan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pesakit dan pelanggan di IKN yang saban tahun sentiasa bertambah.

Ia merupakan satu cabaran dari segi fizikal, mental, dan emosi dalam memastikan perhidmatan yang diberikan adalah yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Komitmen yang telah dicurahkan oleh semua warga IKN (sama ada yang telah bersara, bertukar dan sedang berkhidmat) yang telah bertungkus lumus menjaga dan memelihara IKN daripada awal penubuhannya sehingga kini tidak dapat digantikan dengan wang ringgit.

Ia adalah sesuatu yang amat membanggakan dan saya kira pujian harus diberikan kepada semua warga IKN atas pengorbanan yang telah dilakukan bagi memastikan IKN sentiasa cemerlang dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat khususnya pesakit kanser.

Di kesempatan ini, ingin saya menarik perhatian dan menyeru kepada semua warga IKN untuk sentiasa bekerja bersungguh-sungguh, cekap dan efisyen dalam merealisasikan Visi dan Misi IKN sebagai sebuah pusat rawatan, penyelidikan dan latihan yang mempunyai kelas yang tersendiri. Semangat kerja berpasukan yang tinggi yang penuh dengan integriti dapat menghasilkan kerja yang berkualiti.

Sebagai pemegang amanah rakyat dan kerajaan, kita akan sentiasa  memberikan perkhidmatan dan menyediakan fasiliti perubatan yang terbaik kepada semua pelanggan tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan.

Akhir sekali, saya sekali lagi ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Ulangtahun Institut Kanser Negara Ke-5 kepada seluruh warga IKN sekalian. 

Dr. Asmayani Binti Khalib

2 September 2018